Kursus Interaktif Al-Quran Bersama Imam Besar Masjid Negara di Pulau Pinang

PULAU PINANG, 26 Jan – Masjid Negara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang telah mengadakan Program Interaktif al-Quran bersama imam-imam dan pegawai masjid seluruh negeri Pulau Pinang pada 26 Januari 2016 di Masjid Negeri Pulau Pinang.Program yang berlangsung di dalam dewan solat utama disertai oleh kira-kira 300 orang peserta yang terdiri daripada imam-imam masjid negeri, masjid daerah dan masjid kariah.

Program ini merupakan satu program perkongsian pintar di antara Masjid Negara dan masjid-masjid negeri seluruh negara bagi mempersiapkan para imam dan pegawai masjid yang berkepakaran dan berketerampilan di peringkat nasional. Masjid Negeri Pulau Pinang merupakan masjid pertama selaku perintis bagi program interaktif al-Quran seluruh Malaysia.Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Sazali bin Hussein, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang mewakili  Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) JAKIM, YBhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabudin.

Setelah tamat program, rombongan daripada Masjid Negara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dijemput mengadakan kunjungan hormat ke kediaman rasmi Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. –JAKIM