Jamil Khir Baharom menekan butang pada skrin sebagai tanda pelancaran pendaftaran Program Transformasi dan Globalisasi Bumiputera Dalam Industri Halal anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di Jakim, Putrajaya, semalam. Turut sama, dari kiri, Naim Mohamad, Othman Mustapha dan Moehamad Izat Emir. utusan/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 11 Jan. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengemukakan cadangan penubuhan Majlis Halal Malaysia yang fungsinya menyeragamkan isu-isu berkaitan halal di negara ini ke Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Majlis Halal Malaysia merupakan platform untuk menangani pertikaian bidang kuasa dan undang-undang dalam kalangan agensi kerajaan yang mengendalikan proses pengeluaran sijil halal.

“Jika selama ini, setiap agensi hanya bergerak bersendirian dalam menguruskan hal-hal berkaitan halal sekali gus menimbulkan ke­renah birokrasi dan polemik dalam proses pengeluaran sijil halal.

“Menerusi usaha sebegini, agensi lain seperti Jakim, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan duduk semeja untuk berbincang dalam menangani permasalahan berkaitan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Pendaftaran Program Transformasi dan Globalisasi Usahawan Bumiputera Dalam Industri Halal anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha; Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir dan Pengerusi Kluster Halal Perdasama, Datuk Naim Mohamad.

Pada masa sama, Jamil Khir berkata, makmal analisis halal Malaysia yang dibina dengan menelan kos sebanyak RM56.7 juta di Bandar Enstek, Nilai dijangka mula beroperasi April ini.

“Makmal ini dengan dibantu empat makmal panel halal lain dijangka memberi faedah amat besar kepada ekonomi negara menerusi proses pengeluaran pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf dari seluruh dunia dan mengangkat imej negara sebagai peneraju utama industri halal global,” katanya.

Sementara itu, Jamil Khir menghargai peranan Perdasama kerana mengambil inisiatif untuk mengembangkan penyertaan bumiputera dalam sektor halal menerusi Program Transformasi dan Globalisasi Usahawan Bumiputera Dalam Industri Halal.

Katanya, program itu akan membimbing para usahawan yang ingin memohon sijil halal secara tersusun dan sistematik menerusi kursus yang berlangsung selama enam bulan.

“Usaha ini sekali gus dapat me­ningkatkan penyertaan golongan bumiputera dalam industri halal ekoran penyertaan mereka dalam sektor ini masih rendah iaitu pada kadar 28 peratus berbanding kaum lain,” katanya.

Sumber: Utusan