Prof. Madya Dr. Mohd Roslan Mohd Nor

PUM merasa terpanggil untuk menyatakan pendirian tentang sambutan yang bakal berlansung di seluruh dunia mengenai Valentine’s Day yang disambut pada 14 Februari setiap tahun masihi.

PUM menggesa supaya sebarang kempen tentang sambutan Valentine’s Day tidak dilakukan dengan menghormati Fatwa yang telah dikeluarkan mengenainya.

PUM meminta pihak kerajaan supaya mengambil tindakan pro-aktif untuk menangani masalah ini yang dikira sebagai aktiviti yang menyumbang kepada masalah sosial di dalam Negara.

PUM melihat sambutan Valentine’s Day tidak syar’ie, bertentangan dengan Islam. Ia berasaskan juga kepada Fatwa mengenai Valentine’s tersebut sepertimana berikut:

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam  Menyambut Perayaan Valentine’s Day. Muzakarah berpandangan bahawa  ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Keterangan/Hujah:

Sejarah Valentine’s Day tidak ada di dalam Islam. Amalan, budaya dan hasrat perayaan ini mempunyai unsur-unsur Kristian yang bercanggah dengan Islam.

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang.
Islam menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Valentine’s Day kerana unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya boleh menggugat akidah Islam.

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah s.a.w.:

من تشبه بقوم فهو منهم

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.”

 (Riwayat Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda:


من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو مردود

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebanyakan golongan remaja Islam hari meraikan Valentine’s Day dengan perbuatan- perbuatan yang dilarang oleh Islam. Gejala seperti ini sekiranya tidak dibendung akan merosakkan generasi umat Islam akan datang.

Sejarah Sambutan Valentine’s Day

Valentine’s Day berasal dari upacara ritual agama Romawi kuno. Adalah Paus Gelasius I pada tahun 496 yang memasukkan upacara ritual Romawi kuno ke dalam agama Kristian, sehingga sejak itu secara rasmi agama Kristian memiliki hari perayaan baru yang bernama Valentine’s Day.

The Encyclopedia Britania, vol. 12, sub judul : Chistianity, memberikan penjelasan sebagai berikut : “Agar lebih mendekatkan lagi kepada ajaran Kristian, pada 496 M Paus Gelasius I menjadikan upacara Romawi Kuno ini menjadi hari perayaan gereja dengan nama Saint Valentine’s Day untuk menghormati St. Valentine yang kebetulan mati pada 14 Februari.”

Sekian, terima kasih.

Prof. Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor
Setiausaha Agung