AKTIVITI DAN KEGIATAN

AKTIVITI DAN KEGIATAN

PUM secara dasarnya sentiasa menjalankan program-program yang berlandaskan dakwah dan menyebarkan risalah Islam, di samping memperjuangkan kemurnian pemikiran Islam di dalam masyarakat. Untuk itu, PUM telah menjalankan program-program dakwah di peringkat Pusat dan Cawangan. Ahli Jawatankuasa PUM juga, sama ada secara individu atau atas nama Persatuan kerap diundang untuk menyampaikan ceramah-ceramah umum dan kuliah di merata tempat seperti masjid-masjid, surau-surau, pejabat-pejabat kerajaan serta swasta dan lain-lain.

Antara kegiatan PUM yang lain, termasuklah membantu atau berperanan terus dalam memberikan input dan idea mengenai sesuatu isu atau perkara tertentu kepada pihak kerajaan atau mana-mana pihak yang berkaitan. Umpamanya, ketika konsep Perbankan Islam masih kabur dan tidak diyakini oleh masyarakat di negara ini, idea atau pemikiran mengenai Bank Islam dicetuskan melalui seminar anjuran PUM iaitu Seminar Ekonomi dan Bank Islam pada tahun 1982. Ekoran dari seminar tersebut, PUM menerbitkan sebuah buku iaitu 100 Soal Jawab Bank Islam. PUM juga telah bertindak menyelesaikan banyak persoalan-persoalan semasa seperti masalah Amanah Saham Nasional yang mana suatu ketika dulu dianggap sensitif, masalah pajak gadai Islam dan lain-lain isu yang relevan mengikut waktu tertentu.

PUM juga turut terlibat di peringkat antarabangsa. Delegasi / wakil PUM turut diundang ke luar negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Britain, Mesir dan lain-lain negara; di samping menerima kunjungan tetamu dari luar negara seperti Pakistan, Kashmir, Amerika, Iran, Turki, British, Australia dan negara-negara Islam lain semata-mata untuk membincangkan persoalan umat Islam