SHAH ALAM – Islam tidak melarang seseorang ibu menyusukan anak di tempat awam, selagi tidak mendedahkan aurat.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Asmak Husin berkata, isu aurat bukan melibatkan wanita sahaja malah lelaki juga dilarang mendedahkan aurat mereka.
“Untuk tujuan itu, si ibu kenalah cari lokasi yang sesuai untuk menyusukan anak ketika berada di tempat awam seperti pusat beli-belah. Dalam keadaan seperti ini, lelaki pula haruslah jaga pandangan mereka,” katanya mengulas kontroversi isu foto ibu menyusukan anak yang menjadi viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Ini berikutan tindakan fanpage Amran Fans di Facebook yang mengecam tindakan seorang ibu muda memaparkan fotonya menyusukan anak.
Kecaman itu mencetuskan reaksi bantahan ramai wanita yang mempertahankan tindakan ibu muda berkenaan dengan hujah tindakan itu tidak salah selagi tidak mendedahkan aurat.
Menjawab persoalan itu, Asmak berkata, sebarang perbuatan yang boleh membangkitkan syahwat perlu dijauhi.
“Kita perlu lihat adakah menyusukan anak di tempat awam itu boleh mendatangkan syahwat? Adakah dengan berselfie semasa menyusukan itu boleh mendatangkan syahwat? Perkara itu kita perlu lihat ke mana kesannya.
“Jangan membuka jalan kepada perkara yang boleh mendatangkan syahwat, sebab itu agama Islam meletakan satu lagi syarat mengenai aurat kepada kaum wanita untuk melabuhkan tudung,” katanya.
Asmak turut mengingatkan semua pihak terutama wanita supaya menggunakan media sosial dengan sebaiknya tanpa mendatangkan mudarat.
“Jika mahu buat sesuatu perkara bukan sahaja perlu memikirkan soal hukum tetapi juga sensitiviti masyarakat Malaysia,” katanya.
Ditanya mengenai pertelagahan terbuka menerusi media sosial seperti yang berlaku dalam kes kontroversi seperti itu, Asmak berkata, perbuatan melabel dan menyebarkan perkara yang boleh menarik perhatian ramai menerusi laman sosial sebagai perbalahan zaman moden juga perlu dijauhi.
“Pada asasnya, penyusuan ibu adalah baik dan perlu disokong semua pihak, bagaimanapun cara mempromosi perlu betul supaya tidak mengundang reaksi negatif daripada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan pihak pasar raya dan pejabat kerajaan serta swasta mengambil pendekatan mesra keluarga dan mesra wanita dengan menyediakan ruang untuk ibu-ibu menyusukan anak demi keselesaan semua pihak.