GlobalisasiGlobalisasi

Oleh: Profesor Datuk Mohammad Abu Bakar

Globalisme membawa sekurang-nya dua makna, salah satunya ialah kecenderongan dan komitmen sesebuah dasar luar menunduk dan mendefinasi persekitaran antarabangsa bermaksud mendominasikannya. Dimensi ini jelas kedapatan dalam dasar luar Amerika Syarikat semenjak penyertaannya dalam Perang Dunia Kedua. Hingga kini, Washington terus bergagasan memajukan dasar luar berorientasikan paksaan ini, sambil memangsakan pihak lain yang bercanggahan dengannya. Umat Islam turut menjadi sasaran dalam skima global Amerika ini.

Wadah Amerika dan Wabak Kominisme

 Kejayaan Amerika Syarikat dalam Perang Dunia Kedua bukan setakat keupayaannya melumpuhkan kuasa Jerman, Jepun dan Itali, tetapi juga kebolehannya mereka-cipta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, membangun semula Eropah mengikut cita-rasanya, dan memulihkan kembali kekuatan Jepun dan menjadikannya sahabat dan sekutu. Dengan kebangkitan komunisme di Eropah Timur, serta perkembangan ideologi itu ke beberapa pelusuk dunia, Washington juga telah menterjemahkan rangkaian pertalian ini menjadi suatu persyarikatan global bertujuan membendongnya. Jalinan utama ialah menerusi pakatan ketenteraan, dalam bentuk NATO di benua Eropah, CENTO DI Timor Tengah, SEATO di Asia Tenggara, ANZUS di rantau Australia dan New Zealand, dan perkongsian Amerika-Jepun di rantau Asia-Pasifik. Keseluruhannya, dalam jangka waktu satu dekad bermula tahun 1947, Amerika Syarikat berjaya mengadakan persahabatan dengan 42 buah negara berasaskan kerjasama untuk memantau dan memusnahkan kominisme.

Wadah Amerika ialah demokrasi-liberal dan kapitalisme, yang menjadi sebahagian dari pandangan-dunia dan peradaban Barat. Pembendongan komunisme diagendakan sebagai sebahagian dari rancangan untuk mendinding dan mempertahankan cara hidup yang berpaksikan pandangan-dunia ini, dan yang telah berkembang dalam persekitaran peradaban Judea-Christian semenjak lebih dari 500 tahun. Perancangan ini turut melibatkan pemerkasaan ideologi menerusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kepelbagaian agensinya, serta institusi-institusi antatarabangsa lain, seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa,  dan penyaluran bantuan ke Dunia Ketiga yang masih rapuh dan mudah pula menjadi sasaran komunisme. Eropah yang menjadi medan utamanya telah mendapat perhatian khusus dalam globalisme Amerika Syarikat di peringkat awal ini, dengan penumpuannya kepada pembangunan sosio-politik dan sosio-ekonomi negara-negara di Eropah Barat. NATO muncul sebagai suatu ‘civilization-protecting coalition’, dengan objektif untuk menghancurkan komunisme yang sedang merebak, dan yang dianggap sebagai ‘civilization-threatening totalitarianism’.

Selama lebih dari 40 tahun, Amerika Syarikat selaku kuasa pengubah (preponderant power) beroperasi memperkuat dan memperluaskan wadahnya,  dalam konteks pertentangannya dengan komunisme, sama ada di sekitar Eropah atau di luar benua tersebut. Penjelmaannya bersifat hegemonik, dan ini membuah keadaan di mana Washington menjadi kuasa pencorak dalam perhubungannya dengan pihak-pihak lain dalam persyarikatan antarabangsanya..

Secara logik, globalisme Amerika ini bertemu dan bertembong dengan globalisme kominis, terutama sekali dasar luar Soviet Union. Tidak kurang juga pentingnya ialah pemaksaan yang berlaku ke atas negara dan masyarakat lain yang terhimpit dalam sengketa global, atau Perang Dingin itu. Beberapa buah negara Amerika Latin menerima padah apabila ia cuba melawan arus. ‘Menbujur lalu, melentang patah’ menjadi semacam pegangan Washington dalam pemerkasaan dasar luarnya. Cuba di bawah Fidel Castro dan Chile di bawah SalvadorAllende masing-masingnya telah menerima tekanan hebat akibat percubaannya melebar-luaskan pengaruh kiri, sama ada di peringkat nasional atau serantau. Umat Islam tidak tersisih atau terselamat dalam dragnet Washington ini, dan dengan nilai strategik yang dimilikinya, ia telah menjadi rebutan antara pihak-pihak yang berkepentingan itu  Buminya yang terletak di persimpangan strategik, hasil mahsulnya yang begitu bermakna bagi pembangunan, dan keagamaannya yang begitu berpotensi sebagai pendinding, adalah diantara perkara-perkara yang menjadi habuan dalam pertarungan ini. Bagi Amerika Syarikat terutama sekali,apapun kecenderongan politik dan komitmen sosial yang terdapat di negara dan masyarakat Muslim berkenaan, tidak menjadi persoalan selama dan selagi  ia boleh dimunafaatkan dalam pertarungannya dengan komunisme antarabangsa. Ekoran dari situ, maka bukan sedikit negara-negara Muslim diperalatkan oleh Washington bagi tujuan menakluki dunia, dan mana-mana pihak yang bertentangan dengannya serta menjadi halangan kepada perancangan globalnya itu dihancurkan, atau paling tidak dihindarkan

Islam sebagai agama telah turut mendapat pembelaan, dan penganutnya telah turut mendapat sokongan dan sogokan disebabkan nilai strategik yang ada padanya. Globalisme Amerika yang bersasaran komunisme ini merangkai dan merantai beberapa buah negara Muslim, seperti Turki, Mesir dan Iran, bertujuan memperhebatkan polisi pembendongan ke atas musuhnya. Mercu kepada perancangan ini ialah pertolongan yang telah diberikan oleh Washington kepada pejuang-pejuang Afghanistan berikutan pelanggaran Soviet Union ke atas negara tersebut. Kejayaan mujahedeen menjadi kejayaan Amerika Syarikat, dan ia sekaligus menjadi petanda kehebatan globalisme Washington.

Wawasan Amerika dan Wajah Ummah 

Washington telah mengekalkan wawasannya untuk memartabatkan dasar luarnya di seluruh dunia hatta satelah tamatnya Perang Dingin, ia itu berikutan kehancuran Soviet Union dan kelumpuhan komunisme internasional. Eropah Barat yang selama ini menjadi anak masnya turut menerima tempias dari globalisme semasa; kebangkitan Kesatuan Eropah yang mampu menandingi kekuatan Amerika Syarikat tidak begitu disenangi, dan apabila beberapa negara Eropah Barat, seperti Belgium, Perancis dan Jerman, berusaha memilih jalan berbeda dalam pembugaran dasar luar masing-masing berhubung krisis Iraq, ia telah menerima bantahan hebat dari Washington. Britain yang pernah membelakangi Amerika Syarikat, bersama Perancis dan Israel, dalam krisis Suez tahun 1956, dan terpaksa menerima padah buruk akibatnya, ternyata tidak mempunyai pilihan melainkan bersekongkol dengan Washington dalam pengurusan krisis Iraq. Unilateralisme yang mencirikan globalisme semasa ini menyebabkan London sanggup meninggalkan sahabat dan sekutunya di benua Eropah untuk memenuhi hasrat dan harapan Amerika.

Amerika Syarikat jelas sekali terangsang oleh kejayaannya menewas Soviet Union, sekaligus melumpuhkan kominisme. Pencapaian ini bukan setakat suatu kemenangan biasa yang menandakan ‘the end of history’, tetapi suatu asas baru untuk bertindak lebih jauh dalam penterjemahan wawasan Amerika Syarikat. Malah sahubungan ini, wawasan tersebut telah turut mengalami transformasi, apabila ia tidak lagi menjurus kepada persoalan pembendongan musuh luar sahaja. Amerika Syarikat mahu menjajah dunia, sambil mengikuti jejak para kolonialis-imperialis sebelumnya, dan lebih dari itu lagi menguasai semua segi kehidupan dunia itu. Pertahanan cara dan gaya hidup Amerika, pengekalan dan penerusan industri persenjataan, pemilikan sumber tenaga asing dan pengontrolan kawasan strategik di merata daerah, adalah di antara faktor-faktor yang semakin mendefinasikan pemikir dan pembuat dasar Washington.

Se awal tahun 1996, sudahpun wujud perancangan besar bernama Project for A New American Century atau Projek Abad Baru Amerika yang bergagasan untuk menakluk dunia, dan bukan sekadar membiarkannya berkembang begitu saja selepas penghapusan ancaman kominisme. Idea Pax Americana yang terungkap dalam program ini telah mempersatukan sebilangan penting pengubal atau pembuat dasar Washington, dan beberapa orang dari mereka berkedudukan strategik dalam pentadbiran Amerika hari ini. Tidak kurang juga pentingnya ialah penempatan yang semakin kukuh lobi Yahudi dan kumpulan sayap kanan kristian dengan keseragaman cita-citanya dalam pentadbiran negara itu.

 Umat Islam dan negara Muslim yang sudah kehilangan sebahagian besar nilai strategiknya berikutan tamatnya Perang Dingin telah menjadi sasaran ampuh dalam persekitaran politik antarabangsa ini. Orde Baru Dunia yang dipropagandakan sebagai suatu susunan yang akan menjaminkan keselamatan dan kestabilan antarabangsa jauh dari membantunya untuk meneruskan kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Malah fenomina kebangkitan semula Islam yang sekadar dibimbangi oleh Barat pada tahun-tahun tujuh dan lapan puluhan, kini telah dipapar dan ditayangkan sebagai musuh baru pengganti komunisme. Globalisme sebagai gelombang yang memuat idea kemajuan Barat semakin berkonflik dengan Islamisasi yang dipersepsikan sebagai perkembangan yang berpotensi membantut perjalanan sejarah Amerika.

Permusuhan Amerika Syarikat dengan Islam sukar dibendong lagi dalam keadaan negara itu semakin rancak memperjuangkan idea kemajuan yang dimaksudkan itu. Islam sebagai agama dalam ertikata Barat mungkin boleh diurusnya, tetapi Islam sebagai satu cara hidup, Islam sebagai ‘an evolving civilization’, dan Islam sebagai suatu ideologi bukanlah suatu yang boleh diterimanya. Islam yang berparadigme sedemikian semestinya bertentangan dengan cara dan gaya hidup Amerika dan semestinya bertembong dengan dasar luar Amerika, dan berpotensi pula menjadi ancaman kepada keselamatan Barat keseluruhannya. Persoalan ‘Clash of Civilizations’ yang dibangkitkan oleh Samuel Huntington sebenarnya memperlihatkan kebimbangan ini.

Sementara itu pula, wajah umat Islam semakin kehilangan serinya. Kalaulah sebelum ini terdapat semacam keghairahan yang menyelubunginya berikutan kebangkitan semula Islam dan akibat kehancuran kominisme, maka kini segalanya itu semakin luput. Ia bukan sahaja berdepan dengan globalisme Amerika, tetapi juga diganggu-gugat oleh konflik dalaman yang semakin mengoyak rabak perpaduan yang sedia ada. OIC terus tidak bermaya. Sentimen keislaman timbul dan tenggelam, dan seringkali pula dimanipulasi oleh Amerika Syarikat untuk kepentingannya. Beberapa buah negara Muslim merasa terpanggil untuk merapatkan diri dengan Amerika Syarikat, dan membuat aku-janji bagi mempastikan penerusan rejim yang memerintah.

Sama ada peristiwa 11 September merupakan angkara sebilangan orang Islam, atau suatu yang lahir dari perancangan Barat untuk mencari helah bagi memerangi negara Muslim, ia amat menepati Projek Abad Baru Amerika. Tidak heranlah ia dijadikan asas dan titik tolak untuk memperjuangkan objektif di sebalik dasar luar yang sememangnya sudahpun bersifat globalis itu. Terorisme atau keganasan antarabangsa ditayangkan sebagai penglibatan natural penganut Islam dalam rangka usaha Washington mencari helah untuk berterusan menentang negara dan masyarakat Muslim yang menjadi penghalang kepada unilateralismenya.

Dunia Masa Depan, dan Masa Depan Dunia

Bagi sesebuah dasar luar yang melihat dunia secara hitam-putih, maka globalisme Amerika Syarikat yang kini dirangsangi oleh unilateralisme tidah mudah untuk dibendong. Pertentangannya dengan pihak lain dilihat sebagai suatu perlawanan dengan kejahatan dan  perosak peradaban, sementara umat Islam dan negara Muslim yang berwawasan Islam dilihat sebagai penghalang kepada perkembangan cara dan gaya hidup keAmerikanan. Lantas satu demi satu negara Muslim diletakkan dalam skrin radar Washington untuk dimusnahkan; bermula dengan Afghanistan, dengan dikuti oleh Iraq, maka kini ia telah mendekati Iran pula. Tidak ada lagi yang benar-benar selamat dalam dunia orde Amerika ini. Malah golongan Muslim yang selama ini mendabik dada sebagai penganut Islam yang liberal atau moderat, dan dibenarkan hidup selesa tanpa campur tangan dan ganggu-gugat oleh kuasa Amerika, semakin sukar untuk menyisehkan diri dari suluhan Washington. Mereka juga turut dikelompokkan sebagai kumpulan yang merbahaya, atau paling tidak yang berpotensi menjadi elemen yang mampu mengancam orde baru ciptaan Amerika.

Melihat pada keupayaan pelbagai dimensi Amerika sebagai satu-satunya kuasa utama hari ini, dan kelengkapannya dari segi militari terutama sekali, maka amat sukar untuk Washington tunduk kepada suara moral, sama ada yang lahir dari PBB atau NAM atau OIC,  sekalipun jelas perbuatannya tidak mempunyai legitimasi dari segi undang-undang antarabangsa. Dorongan ‘might is right’ dan ‘siapa kuat dia dapat’ akan sentiasa mencetus perasaan kepimpinan Amerika  untuk merempuh mana-mana golongan yang menghalang pelaksanaan dasar luarnya. Dunia akan ditentukan oleh hukum rimba apabila Washington menjadikan kekuatan militarinya, dengan penempatannya sebanyak 725 buah  di seluruh dunia itu, sebagai alat untuk memajukan globalismenya.