Oleh Siti Radziah Hamzah dan Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Selepas lima tahun dan 19 pusingan perundingan, 12 negara Lingkaran Pasifik akhirnya akan menandatangani pakatan perdagangan yang banyak diperbahaskan, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), di Auckland, New Zealand pada Khamis 4 Feb.

Perjanjian itu, yang mewakili hampir 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global bernilai US$30 trilion, tersedia untuk meningkatkan pertumbuhan di 12 negara anggota yang terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

TPPA diunjur meningkatkan pertumbuhan KDNK secara menyeluruh di negara anggota hasil daripada peluasan pasaran dan pemansuhan atau pengurangan halangan perdagangan.

TPPA merangkumi 30 bab perundangan yang meliputi isu-isu perdagangan dan berkaitan perdagangan bagi meluaskan akses pasaran bagi barangan, perkhidmatan dan pelaburan, selain mengharmonikan peraturan dan disiplin perdagangan baharu dan isu merentas sektor seperti pemerolehan kerajaan.

Justeru, selain meningkatkan perdagangan dan pelaburan, perjanjian itu juga bertujuan mewujudkan dan mengekalkan pekerjaan, meningkatkan inovasi, produktiviti dan daya saing selain meningkatkan taraf hidup kira-kira 800 juta penduduk.

Malaysia, yang menyertai perjanjian perdagangan bebas abad ke-21 yang komprehensif semasa pusingan ketiga rundingan pada Oktober 2010, bakal menyaksikan KDNK meningkat US$107 bilion hingga US$211 bilion dalam tempoh 2018-2027.

Malaysia merupakan anggota kesembilan TPPA pada mesyuarat yang berlangsung sempena mesyuarat pemimpin APEC di Honolulu pada 2011. Rundingan perjanjian itu dimuktamadkan pada 5 Okt 2015.

Pelaburan Malaysia dijangkakan meningkat sebanyak US$136 bilion hingga US$ 239 bilion dalam tempoh 2018-2027, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan pelaburan yang lebih tinggi dalam industri tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran.

Syarikat berorientasikan eksport akan mendapat akses pasaran yang lebih besar, terutama dengan negara yang Malaysia masih belum mempunyai perjanjian perdagangan iaitu Kanada, Mexico, Peru dan Amerika Syarikat.

Keempat-empat negara ini menyumbang kira-kira 74 peratus daripada saiz pasaran blok ekonomi TPPA, dengan KDNK kira-kira US$21 trilion pada 2014.

Bagi meliberalisasikan lagi perdagangan Malaysia, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi jaminan bahawa ekonomi negara tidak akan ‘dijajah’ oleh negara lain dalam perjanjian itu.

Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam TPPA tidak hanya akan membawa manfaat utama kepada ekonomi negara, malah dalam bidang lain seperti pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana.

Melindungi kepentingan Bumiputera dalam TPPA merupakan antara pencapaian paling membanggakan bagi Malaysia.

“Malaysia menyertai perjanjian ini (TPPA) mengikut syarat-syarat kami dan berdasarkan tindakan yang termaktub dalam perjanjian antarabangsa,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata baru-baru ini.

Kerajaan telah menjalin perjanjian yang baik, dan pelabur Malaysia perlu yakin bahawa mereka dilindungi menerusi peruntukan penyelesaian pertikaian pelabur-negeri dalam TPPA, kata Dekan Sekolah Perniagaan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia , Dr Yeah Kim Leng.

Untuk masa hadapan, Malaysia juga perlu memberi tumpuan ke atas bab pelaburan selain menyegerakan pembangunan dan jalan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata Malaysia merupakan penerima ketiga terbesar pelaburan langsung asing di ASEAN, dan TPPA akan menjadi satu lagi platform untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan rakan serantau untuk memperoleh pelaburan tambahan.

— BERNAMA