Pada hari Ahad, 6 Disember 2015, semasa sidang media Forum Islam Dalam Demokrasi Berparlimen di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kumpulan bekas penjawat awam, G25 mahu penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah yang sedang berkuat kuasa.
Antara yang dicadangkan untuk dimansuhkan ialah kesalahan berkhalwat yang didakwa melanggar hak kebebasan seseorang seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pihak MAIS menegaskan bahawa matlamat undang-undang kesalahan khalwat digubal adalah bertujuan mengawal dan mencegah daripada berlakunya kesalahan yang lebih besar iaitu kesalahan zina seperti dinyatakan dalam surah al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud;
“dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
Pihak MAIS juga menegaskan bahawa proses penyiasatan yang dibuat oleh pihak berkuasa agama dalam kes khalwat ini bukan merupakan satu intipan dan bukan bertujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak. Tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa agama adalah hasil dari aduan orang ramai. Proses siasatan yang dilaksanakan adalah mengikut prosedur yang sedia termaktub di dalam Akta atau Enakmen Tatacara Jenayah Syariah negeri-negeri bagi memastikan aduan atau maklumat yang diterima adalah benar sebelum pendakwaan dibuat. Bahkan, tindakan mereka ini adalah selari dengan perintah Allah SWT di dalam surah Al Hujurat ayat 6 yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.
Oleh itu, adalah tidak bertepatan apabila Pegawai Penguatkuasa Agama dituduh mengintip dan menceroboh hak privasi seseorang sedangkan tindakan mereka selaras dengan prosedur yang termaktub di bawah undang-undang. Adalah menjadi prosedur penyiasatan (SOP) bagi pegawai penguatkuasa agama apabila sesuatu aduan dibuat untuk ke tempat di mana kejadian khalwat dikatakan berlaku, seterusnya mengetuk pintu dan memperkenalkan diri mereka terlebih dahulu sebelum proses siasatan lanjut dijalankan. Pegawai penguatkuasa agama juga ditegah daripada mengambil tindakan menyerbu dengan membuta-tuli dan mendakwa seseorang melakukan khalwat atau penzinaan tanpa usul periksa.
Pihak MAIS juga menegaskan bahawa konsep kebebasan dalam Islam adalah terhad kepada batas-batas tertentu dan umat Islam dilarang daripada melakukan dosa dan kemungkaran dengan bebas tanpa batasan.
Islam juga menuntut supaya umatnya menghalang perbuatan dosa dan kemungkaran yang berlaku mengikut kemampuan masing-masing sepertimana termaktub di dalam hadis Rasulullah SAW yang berikut:
‘Sesiapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”
Justeru itu, adalah menjadi kewajipan semua umat Islam untuk menghalang apa jua perbuatan maksiat dan dosa yang berlaku mengikut kemampuan masing-masing walaupun perlakuan tersebut berlaku di kawasan persendirian.
Pihak MAIS turut mengingatkan kepada semua umat Islam bahawa sebarang kenyataan yang menghina peruntukan undang-undang Islam yang berkuat kuasa boleh diambil tindakan atas kesalahan menghina atau mempersendakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Negeri yang berhubungan dengan agama Islam, dan apabila disabitkan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya.
DATO’ SETIA HAJI MOHAMAD ADZIB BIN MOHD ISA
PENGERUSI MAIS
MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR
DATO’ SETIA HAJI MOHD. TAMYES BIN ABDUL WAHID
DATO’ SERI UTAMA DIRAJA MUFTI SELANGOR
JABATAN MUFTI SELANGOR
18 Disember 2015M / 6 Rabiulawal 1437H