Shah Alam, 18 Jun 2016: Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) turut mengambil kesempatan di dalam bulan Ramadan yang mulia ini untuk mengadakan iftar jamaei. Pada tahun ini iftar jamaei diadakan secara sederhana dengan dihadiri barisan kepimpinan PUM, muslimah, pimpinan mahasiswa dan tetamu jemputan. Ia dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga bersama anak-anak ke majlis ini.
Majlis dimulai dengan ucapan Setiuasaha Agung merangkap pengerusi majlis yang menyatakan walaupun majlis dibuat secara sederhana, tetapi katanya “yang lebih penting daripada itu ialah untuk merapatkan ukhuwwah di antara satu sama lain di samping dapat berbuka bersama.”
Majlis diserikan dengan pengisian rohani daripada Timbalan YDP PUM, Dato’ Wan Mohamad b. Sheikh Abdul Aziz dengan tajuk mengenai ‘Barakah.’ Sesuai sangat tajuk ini terutama di dalam bulan Ramadan untuk memahami pengertian barakah, jenis-jenisnya serta bagaimana mencapainya.
Selesai pengisian rohani, para tetamu berbuka puasa dengan menjamah tamar. Setelah solat Maghrib, para tetamu menjamu selera berbuka dengan pelbagai jenis makanan secara buffet. Majlis diadakan di Restoran Belanga Seksyen 14 Shah Alam ini merakam seribu kenangan bagi Ramadan 1437. PUM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir.