KOTA BAHARU, 3 Feb (Bernama) — Kementerian Pendidikan menolak dakwaan kononnya penganjuran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Sekolah-Sekolah di bawah kementerian itu dibatalkan tahun ini.
Pengarah Bahagian Pendidikan Islam kementerian itu Wan Ramdzan Wan Mamat berkata kementerian akan menganjurkan Karnival Dakwah Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) peringkat kebangsaan pada 27 hingga 30 Mei ini.
“Beberapa acara akan dipertandingkan dalam karnival itu termasuk majlis tilawah dan hafazan Al-Quran peringkat sekolah rendah dan menengah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Wan Ramdzan berkata acara lain ialah pertandingan nasyid, bercerita kisah Al-Quran, ‘kalimatus sobah’, dan ‘Qiraah as-sab’ah’.
Beliau berkata pihak kementerian juga akan melaksanakan program khemah ibadah sekolah-sekolah KPM, ‘kalam jamaie’ dan khatam Al-Quran.
“Tindakan ini diambil KPM untuk mengoptimumkan perbelanjaan peruntukan yang diluluskan kerajaan bagi tahun ini (2016),” katanya.
Wan Ramdzan berkata demikian bagi mengulas permohonan Persatuan Qari dan Qariah Negeri Kelantan supaya KPM mempertimbangkan semula keputusan membatalkan program tahunan Tilawah Al Quran peringkat Sekolah Rendah dan Menengah KPM tahun ini.
Beliau berkata berlaku salah faham terhadap perkara yang diketengahkan Pengerusi persatuan itu, Che Norddin Che Hussin baru-baru ini.
— BERNAMA