Perkataan ‘pemikiran’ menurut penggunaan Bahasa Melayu bermaksud perihal berfikir[1]. Penggunaan perkataan ini menurut kebiasaannya adalah dirujuk kepada hasil-hasil pemikiran yang telah berjaya dihasilkan oleh manusia melalui satu aktiviti atau gerakan pemikiran[2]. Istilah “pemikiran”, “falsafah” dan “tasawwur” juga merujuk kepada hasilan akal manusia dalam sejarah yang panjang sama ada dalam kitaran masyarakat Islam atau bukan Islam[3]. Ungkapan istilah “pemikiran Islam” merupakan satu istilah baru yang digunakan dalam bidang penulisan ilmiah di zaman moden.
Terdapat percubaan untuk membezakan antara istilah “pemikiran Islam” (al-fikr al-Islami) dengan istilah “pemikiran agama” (al-fikr al-dini), di mana pemikiran Islam hanya dirujuk kepada pemikiran yang cuba untuk menangani isu-isu pemikiran asing yang menular masuk ke dunia Islam, khususnya pada kurun pertengahan, sama ada dalam bentuk kegiatan melakukan penyesuaian antara pemikiran tersebut dengan prinsip-prinsip Islam, atau dalam bentuk penolakan terrhadapnya sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya. Manakala istilah ”pemikiran agama” pula merujuk kepada pemikiran agama yang berkait dengan bidang-bidang yang menyangkut perihal untuk mempertahankan akidah atau perbahasan fiqh yang bertujuan untuk mempastikan peristiwa-peristiwa semasa yang berlaku dalam persekitaran kehiudpan manusia boleh disejajarkan dengan ajaran Islam menerusi proses ijtihad[4].
Pada penulis, kedua-kedua istilah tersebut adalah merujuk kepada konsep dan pengertian yang sama iaitu yang merujuk kepada bentuk pemikiran yang dinisbahkan kepada Islam berdasarkan ciri-cirinya yang khusus. Irfan `Abd al-Hamid juga kelihatan tidak melihat adanya persamaan antara kedua-dua istilah, di mana kedua-duanya merujuk kepada bentuk pemikiran yang mempunyai ciri-ciri berikut; (1) pemikiran yang boleh berkembang, (2) bersandarkan rujukan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang memperakui kesatuan risalah para anbiya’ dan kefitrahan manusia dalam beragama, (3) berpotensi untuk menerima dan menolak sesuatu idea pemikiran berdasarkan kegiatan-kegiatan seperti penyesuaian (contohnya antara pemikiran falsafah dan wahyu), pemurnian, pengharmonian dan sebagainya, (4) berciri kesederhanaan sama ada dari segi penghayatan beragama (al-tadayyun), amalan diri (suluk) dan pemikiran[5]. Namun demikian, terdapat juga kalangan pemikir Islam yang tidak menentang metode penyatuan dan pengharmonian (al-jam` wa al-tawfiq) antara wahyu dan akal, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Syaikh al-Islam al-Harawi al-Ansari (m. 48 H.), Ibn Qudamah al-Maqdisi (m. 620 H.), Ibn Taymiyyah al-Harrani (m. 729 H.), Ibn Qayyim al-Jawziyyah (m. 751 H.) dan al-Shaikh Muhammad bin `Abd al-Wahhab, pengasas mazhab Wahabi dan tokoh-tokoh terkemudian yang mendokonginya[6].
Istilah pemikiran Islam telah didefinisikan dengan pelbagai pengertian oleh tokoh-tokoh pemikir Islam. Muhammad al-Bahi mendefinisikan sebagai percubaan (al-muhawalah) berasakan kepada keupayaan akal, yang telah dilakukan oleh para ulama Islam bagi menerangkan agama Islam berdasarkan kepada sumber asli iaitu al-Quran dan al-Sunnah[7]. Percubaan yang dimaksudkan oleh beliau adalah terangkum dalam tiga persoalan utama iaitu percubaan untuk memahami dan mengistinbatkan hukum-hukum agama yang berkait dengan kehidupan manusia, percubaan menyerasikan ajaran Islam dengan pemikiran asing dan percubaan untuk mempertahankan akidah Islam serta menolak akidah-akidah lain yang bercanggahan dengan akidah tersebut[8].
Sementara Muhsin Abd. al-Hamid pula mendefinisikan sebagai semua hasil pemikiran umat Islam, mencakupi pengetahuan yang berhubung dengan Allah, alam dan manusia dan merupakan satu ijtihad akal manusia dalam menafsirkan pengetahuan umum menurut prinsip akidah, syariah dan akhlak Islam. Menurutnya lagi, sesuatu pemikiran yang tidak bertitik tolak dari dasar-dasar Islam yang tetap dan qat’iyy sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah, tidak boleh dianggap sebagai pemikiran Islam.[9]
Selain daripada itu istilah “pemikiran Islam” juga telah dirujuk secara khusus kepada semua himpunan ilmu pengetahuan yang tertegak di atas asas-asas dan neraca ukuran Isalam yang sebenar[10]. Menurut Lupti Ibrahim, segala ilmu pengetahuan yang berasaskan kepada nilai-nilai al-Quran dan al-Sunnah yang sejajar dengan al-Quran atau dalam erti kata yang lain, segala bidang keilmuan yang dikaitkan dengan nilainya dengan kedua-dua sumber tersebut termasuk pengertian “pemikiran Islam”[11].
Berdasarkan kepada beberapa definisi di atas, dapat dirumuskan bahawa istilah “pemikiran Islam” adalah merujuk kepada semua hasil pemikiran yang telah dihasilkan oleh para ulama Islam melalui proses ijtihad berasaskan kepada keupayaan akal mereka untuk menerangkan Islam berdasarkan kepada dua sumbernya yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Suatu perkara yang jelas di sini, pemikiran Islam dikaitkan dengan ijtihad yang tentunya memerlukan seseorang memenuhi syarat-syarat yang diperlukan oleh seseorang mujtahid. Syarat-syarat ini boleh dianggap sebagai sebahagian dari keperluan seseorang pemikir Islam. Andaikata seseorang pemikir Islam tidak dikenakan sebarang syarat, tentunya akan muncul dalam masyarakat ramai kalangan yang mendakwa sebagai pemikir Islam, sedangkan dia sebenarnya tidak memiliki kefahaman yang lengkap tentang al-Quran dan al-Sunnah, tidak memiliki sahsiah sebagai seorang Muslim yang baik atau `adil, tidak memiliki pengetahuan tentang bahasa Arab yang baik bagi membolehkannya memahami maksud al-Quran dan al-Sunnah dan lain-lain syarat lain.
Ringkasnya, kita menyimpulkan bahawa pemikiran Islam adalah hasil-hasil pemikiran yang berupa ilmu-ilmu pengetahuan yang sejajar dan tidak bertentangan dengan nilai-nilai- al-Quran dan al-Sunnah, meliputi bidang-bidang seperti akidah, ibadah, syariah, dan juga akhlak. Menurut Wan Adli Wan Ramli, sekurang-kurangnya terdapat tiga unsur utama pemikiran Islam, (1) ia berkait dengan aktiviti akal, (2) ia bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah dan (3) ia merupakan ilmu tentang Tuhan, insan dan alam menurut perspektif Islam[12]. Ini bererti hasil-hasil pemikiran yang terbit dari pemikir-pemikir Islam, tetapi bercanggah dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah adalah tidak boleh dianggap sebagai pemikiran Islam, begitu juga dengan aktiviti akal yang bersumberkan akal semaa-mata; atau aktiviti akal yang bersumberkan al-Qur’an semata-mata dan menolak al-Sunnah atau sebaliknya; atau ketiadaan aktiviti akal iaitu kejumudan akal yang didakwa bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah; atau aktiviti akal dalam membentuk sesuatu yang bukan ilmu seperti teori yang meragukan dan tidak sampai ke tahap yakin, berkenaan tasawur Tuhan, insan, alam; atau lain-lain lagi[13].
Ciri asas pemikiran Islam adalah ia bersumberkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Kelayakan dan kesesuaian al-Quran menjadi sumber utama dan terpenting bagi pemikiran Islam adalah terletak pada ciri-ciri kandungan-Nya yang bersifat menyeluruh dan mencakupi segenap aspek, sama ada berkait dengan pemikiran, kebudayaa, keilmuan, dan sebagainya. Firman Allah:
وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا عَلَيْهِمْ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَى هَؤُلَاءِ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah pertunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.” [Al-Nahl (16): 89]
Setiap gerakan pemikiran yang muncul dalam sesuatu masyarakat tentu sekali akan bertitik tolak dari sesuatu dasar yang tertentu, menggunakan metode yang tertentu dan digerakkan ke arah mencapai sesuatu objektif yang tertentu. Ini bermakna sesuatu gerakan pemikiran yang bertitik tolak dari dasar-dasar Islam, sudah tentu akan dapat mengeluarkan hasil-hasil pemikiran berupa himpunan ilmu-ilmu pengetahuan. Kegiatan inilah yang menyebabkan munculnya dalam dunia Islam pelbagai idea tentang pemikiran Islam dan gabungan dari idea tersebut sebahagiannya membentuk disiplin ilmu-ilmu Islam seperti ilmu kalam, fiqh, usul al-fiqh, tasawuf dan sebagainya. Kesemua ini boleh kita anggap sebagai “pemikiran Islam”. Pemikiran ini berkembang selari dengan perkembangan yang berlaku dalam masyarakat Islam. Isu-isu yang ditangani adalah berbeza dari satu generasi ke satu generasi atau dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Kalau di zaman silam, isu kemasukan aliran-aliran pemikiran asing yang didominasi oleh pengaruh pemikiran Greek-Yunani dibincangkan, kini isu kemasukan aliran pemikiran barat Moden di era moden dan pasca moden pula seperti falsafah Humanisme, Sekularisme yang melahirkan fahaman-fahaman seperti liberalisme, rasionalisme, pragmatisme dan sebagainya turut menjadi mauduk perbincangan. Apa yang penting asas-asas utama yang terdapat dalam pemikiran Islam tersebut hendaklah dijadikan garis panduan dalam perbincangan tersebut.
Dalam perbincangan pemikiran Islam yang menyentu ilmu kalam, nyata sekali bahawa umat Islam pada zaman silam mampu menggunakan pendekatan ilmu kalam untuk menghadapi serangan dari aliran falsafah Greek dan dari serangan ahli-ahli teologi agama Kristian. Musuh-musuh Islam tersebut menggunakan pendekatan akliah bagi memesongkan pegangan akidah umat Islam, di mana mereka berjaya mempengaruhi sebilangan umat Islam sehingga melahirkan golongan-golongan sesat seperti al-Batiniyyah, al-Karamiyyah dan al-Jahmiyyah dan lain-lain lagi. Para pemikir Islam daam bidang tersebut mampu menewaskan musuh Islam di gelanggang mereka dengan menggunakan senjata mereka sendiri. Oleh itu, pendekatan yang sama juga patut digunakan untuk menentang aliran-aliran moden yang bertuhankan pendekatan akliah yang menjadi ancaman umat Islam di sepanjang zaman. Dalam konteks masa kini, pendekatan akliah ini merupakan inti kepada peradaban Barat moden, sebagaimana terjelma dalam pelbagai bentuk aliran seperti rasionalisme, humanisme, positivisme, scientisme dan lain-lain lagi[14].
[2] Mu’assasah al-Balagh (1987), al-Fikr al-Islami. Tehran: Mu’assasah al-Balagh.
[3] Mohamad Kamil Hj Ab. Majid (1995), “Pemikiran Islam Menghadapi Cabaran-cabaran Abad Ke 21 M.”, Jurnal Usuluddin; 2, h. 134.
[4] Muhammad al-Bahi (1971), al-Fikr al-Islami fi Tatawwurih. Kaherah: Dar al-Fikr, h. 3.
[5] Untuk keterangan lanjut, lihat Irfan `Abd al-Hamid Fattah (2003), “al-Islam wa al-Tahaddiyat al-Mu`asarah” dalam Mohd Fauzi Hamat, et al. Pemikiran Islam dan Cabaran Semasa, Kuala Lumpur: Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, h. 361-368.
[6] Irfan `Abd al-Hamid Fattah (1997), “Khasa’is al-Manhaj al-`Ilmi wa Muqarabatuh fi al-Qur’an al-Karim”, al-Tajdid, bil. 1, h. 21.
[7] Muhammad al-Bahi (1971),op.cit., h. 7.
[8] Ibid.
[9] Muhsin `Abd al-Hamid (1986), al-Fikr al-Islami: Taqwimuh wa Tajdiduh. Baghdad: Maktabah Dar al-Anbar, h. 7.
[10] Mu’asasah al-Balagh (1987), op.cit., h. 18.
[11] Lutpi Ibrahim (1993), Antologi Pemikiran Islam, Shah Alam: Penerbitan Hizbi, halaman pendahuluan.
[12] Wan Adli Wan Ramli (2006), “ Pemikiran Islam dan Barat Moden: Analisis terhadap Pragmatisme”. Disertasi Sarjana Usuluddin, Jabatan Akidah danPemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, KualaLumpur, h. 24.
[13] Ibid, h. 25.
[14] Mohd Farid Mohd Sahran (2001), “ Asha`irah Dan Ahl al-Sunnah: Satu Pandangan Balas”, Majalah al-Hikmah, No. 19, Kuala Lumpur: ISTAC, h. 50. Untuk keterangan lanjut, lihat al-Najjar, `Abd al-Majid `Umar (1992), Mabahith fi Manhajiyyah al-Fikr al-Islami. Beirut: Dar al-Gharb al-Islami, h. 121-127.