Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) merupakan satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan politik yang mempertuankan institusi ulama’. Dalam Perlembagaan PUM sendiri Fasal 111 yang menjelaskan tujuannya:
- Menyatukan ULAMA Dalam harakah Islamiyah dan mengembelingkan tenaga untuk menegakkan syari’ah Islam dan mempertahankan kebenaran dan kemurnian ajarannya.
- Meninggikan kedudukan dan taraf ‘ULAMA’ di dalam masyarakat.
- Menjalankan usaha-usaha kebajikan untuk ahli-ahli.
- Menjalankan usaha-usaha penyelidikan ilmiah dan pengeluaran buku-buku ilmiah dan pengeluaran buku-buku ilmiah yang sah di sisi undang-undang serta menghidupkan karya-karya ilmiah Islam yang lama.
- Bekerjasama dengan persatuan-persatuan Islam yang lain di dalam negeri.
- Meninggikan nilai-nilai akhlak dan rohaniah di dalam masyarakat dan membasmi punca-punca keruntuhan moral.
- Memainkan peranan dan memberi bimbingan kepada masyarakat untuk membina dan membangun ummah menurut Islam.
- Menjalankan ikhtiar untuk menjayakan tujuan-tujuan di atas dan meninggikan imej persatuan ‘ULAMA’ Malaysia.
Fasal 111(A) perlembagaan PUM menyebutkan syarat-syarat menjalankan tujuan PUM berbunyi “sesuatu dasar mengikut tujuan persatuan yang hendak dijalankan hendaklah diusahakan dengan tidak bertentangan hukum syara’ dan Undang-Undang Majlis Agama dan Adat istiadat Melayu. Dalam fasal ini persatuan akan sentiasa menghubungi pihak Majlis Agama Islam dan adat-istiadat Melayu bagi mendapatkan nasihat dan pengetahuannya sebelum sesuatu kegiatan dapat dijalankan oleh persatuan”.
PUM berpegang kepada hadis Rasulullah S.A.W:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Yang bermaksud: “Kalau kamu melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangan (kuasa). Jika tidak mampu, lakukan dengan lidah (lisan) dan jika tidak mampu juga, maka bantahlah di dalam hati. Itulah selemah-lemah iman.” [HR Muslim].