PUM MAHU PENGANJURAN KONSERT COLPLAY DIBATAL
Persatuan Ulama Malaysia (PUM) memandang serius penganjuran konsert Coldplay yang akan diadakan pada 22 November 2023 di Stadium Bukit Jalil. Penganjuran program berbaur hedonisme ini jelas melalaikan umat Islam dan rakyat Malaysia lantaran jauh daripada norma dan tatasusila tempatan. PUM menyelar sekerasnya penganjuran konsert ini yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Kemungkaran yang tidak dicegah akan menjemput bala bencana yang tidak hanya ditimpakan ke atas orang yang zalim dan pelaku dosa semata. Takutlah akan peringatan daripada Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 25:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Bermaksud: Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.
Ironinya, penganjuran konsert sebegini diadakan ketika kerajaan memperkenalkan gagasan Malaysia Madani. Kerajaan mempunyai tanggungjawab legal dan moral untuk membendung gejala yang boleh meruntuhkan nilai moral dan budaya lokal. Sebaliknya dengan menggalak dan menyuburkan budaya tidak sihat boleh menggagalkan agenda pembentukan warganegara yang bertanggungjawab lagi bertamadun.
PUM menegaskan bahawa hiburan dalam Islam mempunyai garis sempadannya yang perlu dipatuhi. Penganjuran Konsert Coldplay dilihat telah melewati garis sempadan Islam sekali gus bertentangan dengan hukum syarak. PUM menyokong penuh kenyataan Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, S.S. Datuk Prof Madya Dr Luqman Haji Abdullah agar penganjur tidak meneruskan program yang membawa kepada kebejatan akhlak rakyat
Malaysia, apatah lagi Kumpulan Coldplay ini dipercayai ada kaitan dengan agenda mempromosikan LGBT yang jelas bercanggah dengan syariat Islam. Masyarakat juga dinasihatkan agar tidak memberi sokongan terhadap program sebegini kerana ia boleh mencemarkan minda umat Islam dengan hiburan melampau, bahkan berisiko terjajah dengan krisis identiti yang cuba dinormalisasi oleh beberapa pihak.
Tambahan pula, penganjuran konsert ini diadakan ketika rakyat Palestin sedang diganyang oleh rejim Zionis Israel tanpa belas. Hiburan melampau ini mengheret rakyat Malaysia khususnya anak muda agar tidak sensitif dengan jenayah kemanusiaan dan korban jiwa yang terus meningkat. Harga tiket konsert yang ditempah menjadi galang ganti kepada kemusnahan, penindasan, dan genosid di Palestin khasnya di Semenanjung Gaza.
Justeru, PUM mendesak agar konsert Colplay ini dibatalkan serta-merta. Bukalah mata dan bangkitlah di saat saudara kita di Gaza sedang dibedil dan dibantai dengan penuh rakus dan sadis sementara sebahagian umat Islam masih hanyut dibuai mimpi dan kealpaan.
DR. MUHAMAD ALIHANAFIAH NORASID
Ketua Syubban (Pemuda)
Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)
19 NOVEMBER 2023/ 05 JAMADIL AWWAL 1445H