PUM MINTA HENTIKAN POLEMIK DR ZAKIR NAIK
PUM kesal dengan tindakan segelintir pihak di negara ini yang cuba menimbulkan polemik mengenai kehadiran Dr Zakir Naik tokoh pendakwah antarabangsa yang merupakan tokoh Maal Hijrah Kebangsaan (Malaysia) 2013.
Pihak yang cuba menimbulkan ketegangan dan keresahan masyarakat itu sepatutnya disiasat kerana telah menyebabkan rakyat tidak tenteram.
Umum mengetahui metod dakwah Dr Zakir Naik yang sentiasa menggunakan hikmah dan rasional dalam berbicara.
Bicara beliau juga adalah dalam konteks perbandingan agama (comparative religion) yang menjadi salah satu antara disiplin pengajian di universiti-universiti tersohor.
Sewajarnya kehadiran beliau diambil peluang oleh semua golongan Muslim dan non-Muslim untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ajaran agama serta dapat memahami kepercayaan asas yang ada dalam agama.
Adalah satu tuduhan liar untuk mengatakan Dr Zakir Naik mengancam ketenteraman serta melabelkan beliau dengan gelaran yang tidak selayaknya; sedangkan golongan yang menuduh beliau itulah sebenarnya yang cuba mengancam ketenteraman rakyat.
Oleh itu PUM meminta pihak keselamatan untuk menyiasat golongan yang cuba menimbulkan polemik ini kerana mereka jelas tidak menghormati prinsip perlembagaan Malaysia.
Akhir sekali, program Dr Zakir Naik wajar diteruskan. Malah pihak keselamatan mesti menjaga, meningkatkan dan memastikan aspek-aspek kawalan keselamatan terhadap tokoh ini terjamin.
Yang benar,
PROF. MADYA DR. MOHD ROSLAN BIN MOHD NOR
Setiausaha Agung,
Persatuan Ulama’ Malaysia.