Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) berbesar hati menyambut kehadiran Syeikh Abd Aziz al-Shihawi, seorang tokoh ulama dari Mesir yang terkenal dengan keilmuan dan penguasaannya dalam Mazhab al-Shafie.
Syeikh Abd Aziz al-Shihawi hadir dalam rangka lawatan ke Malaysia selama kira-kira dua minggu. Yang Dipertua PUM, Prof. Datuk Dr. Luqman Abdullah bersama beberapa Ahli Jawatankuasa PUM telah meluangkan masa menyantuni dan bertemu beliau di Hotel Tenera, Bangi.
Sepanjang keberadaan beliau di Malaysia, beberapa program ilmu sedang disusun bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mengambil manfaat daripada keilmuan dan pengalaman beliau. Antara negeri yang dirancang untuk dikunjungi ialah Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan, sekiranya waktu mengizinkan, Kedah.
Syeikh Abd Aziz al-Shihawi merupakan seorang ulama yang begitu komited dalam membicarakan persoalan hukum-hakam, fiqh, mazhab serta pelbagai bidang keilmuan Islam. Kehadiran tokoh ulama seperti beliau merupakan satu kesempatan yang amat berharga untuk memperkukuhkan tradisi pengajian ilmu secara bertalaqqi serta hubungan keilmuan antara ulama Malaysia dan ulama dari dunia Islam.
Walaupun dalam usia yang sudah lanjut, beliau masih mempunyai semangat yang tinggi untuk bermusafir dan meluangkan masa bersama masyarakat Islam di Malaysia bagi berkongsi ilmu dan pengalaman.
PUM mengalu-alukan kehadiran Syeikh Abd Aziz al-Shihawi ke Malaysia dan mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan, kekuatan dan keberkatan kepada beliau sepanjang berada di negara ini.
Semoga kunjungan ini memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat serta mempereratkan lagi hubungan keilmuan antara Malaysia dan para ulama di Mesir.
Khamis, 20.8.2026.
Tinggalkan Balasan