BANGI, 1 NOVEMBER 2026 – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Tahunan (MPT) Kali Ke-46 bertempat di Hotel Tenera, Bangi pada 1 November 2026.
Mesyuarat ini telah menghimpunkan para perwakilan daripada cawangan-cawangan PUM seluruh negeri bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan perjalanan organisasi, perkembangan persatuan serta perancangan dan hala tuju gerak kerja PUM dalam memperkukuh peranan institusi ulama di Malaysia.
Kehadiran para perwakilan daripada cawangan negeri mencerminkan komitmen dan kesepaduan seluruh kepimpinan PUM dalam memastikan kelangsungan gerakan persatuan, di samping memperkukuh hubungan kerjasama antara PUM Pusat dengan cawangan-cawangan negeri.
Mesyuarat ini turut menjadi platform penting untuk membentangkan laporan aktiviti dan perkembangan persatuan, menilai pencapaian gerak kerja serta membincangkan cadangan dan pendekatan baharu bagi memperkasakan agenda dakwah, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan ummah.
PUM berharap agar segala perbincangan, pandangan dan keputusan yang dicapai melalui mesyuarat ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang lebih tersusun dan berkesan demi memperkukuh peranan PUM sebagai wadah penyatuan ulama serta organisasi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Semoga Mesyuarat Perwakilan Tahunan kali ini terus menyemarakkan semangat kesatuan, kebersamaan dan iltizam seluruh kepimpinan serta ahli PUM dalam membawa agenda Islam dan memperjuangkan kepentingan ummah.
PERSATUAN ULAMA MALAYSIA (PUM)







Tinggalkan Balasan