Uncategorized

PUM MENGIRINGI SYEIKH DR. MUHYIDDIN AWWAMAH.

Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) berbesar hati mengiringi Syeikh Dr. Muhyiddin Awwamah dalam satu pertemuan bersama YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

PUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Menteri Agama atas kesudian menerima kunjungan ini. Walaupun mempunyai jadual yang padat dengan pelbagai program dan urusan rasmi, beliau tetap meluangkan masa untuk menyantuni Syeikh Dr. Muhyiddin Awwamah serta bertukar pandangan dalam suasana penuh ukhuwah dan mahabbah.

Turut bersama dalam pertemuan tersebut ialah Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Fawwaz Fadzil, serta wakil-wakil PUM terdiri daripada YDP Prof Datuk Dr Luqman Abdullah, TYDP, NYDP dan SUA.

Dalam pertemuan ini, Syeikh Dr. Muhyiddin Awwamah turut membawa amanah daripada ayahandanya, al-‘Allamah Syeikh Muhammad Awwamah, berupa sebuah kitab yang membicarakan mengenai Manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Insya-Allah, kitab berkenaan akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu supaya kandungannya dapat dimanfaatkan dengan lebih luas oleh masyarakat, khususnya para ilmuwan, pendakwah, penuntut ilmu dan umat Islam di Malaysia serta Nusantara.

Urusan terjemahan ini akan digerakkan melalui kerjasama antara Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) serta beberapa pihak lain yang berkaitan.

Semoga pertemuan yang penuh bermakna ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat dalam usaha memperkukuhkan tradisi keilmuan Islam, menyebarluaskan kefahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah serta memperkasakan hubungan antara para ulama dan institusi Islam pada masa akan datang.

“Memartabatkan Ilmu, Memperkukuhkan Ummah”

Persatuan Ulama Malaysia

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *