16 September 2026 – Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) menerima kunjungan Mr. Musap Yusuf daripada pertubuhan Abwab al-Khayr (Hayır Kapıları) yang berpangkalan di Istanbul, Türkiye.
Kunjungan ini bertujuan menjalinkan hubungan dan meneroka ruang kerjasama antara kedua-dua pertubuhan, khususnya dalam melaksanakan misi kemanusiaan dan kebajikan untuk membantu rakyat Gaza dan Bayt al-Maqdis.
Abwab al-Khayr merupakan pertubuhan yang aktif melaksanakan pelbagai projek kebajikan bagi membantu masyarakat yang berhadapan dengan kesusahan dan krisis kemanusiaan.
PUM pula sedang menggerakkan usaha untuk membantu mereka yang mengalami kecederaan akibat serangan berterusan di Gaza. Bantuan tersebut disalurkan melalui kerjasama dengan pertubuhan kemanusiaan di Lubnan.
Kehadiran wakil Abwab al-Khayr membuka ruang lebih luas kepada PUM untuk memperkukuh jaringan kemanusiaan antarabangsa serta meneroka pelbagai bentuk kerjasama dan kerja amal yang dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
PUM berpandangan bahawa usaha kemanusiaan perlu terus diperkasakan bagi membantu mereka yang memerlukan, tanpa mengira sempadan, di samping mengangkat kembali karamah insaniah (كرامة إنسانية) yakni martabat dan kemuliaan manusia yang tercalar akibat konflik dan peperangan.
Semoga pertemuan ini menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara PUM, rakyat Malaysia dan Abwab al-Khayr demi kemanusiaan dan kesejahteraan ummah.
Tinggalkan Balasan