Uncategorized

PUM BERJAYA ANJUR SEMINAR KEBANGSAAN KRISIS GEOPOLITIK ASIA BARAT DAN IMPAK MASA DEPAN

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) telah berjaya menganjurkan Seminar Kebangsaan Krisis Geopolitik Asia Barat dan Impak Masa Depan pada 31 Oktober 2026 bertempat di Hotel Tenera & Suites, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Seminar ini menghimpunkan para sarjana, akademik dan tokoh masyarakat bagi membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan perkembangan geopolitik Asia Barat serta implikasinya terhadap dunia Islam dan Malaysia.

Sebanyak 11 kertas kerja telah dibentangkan dalam empat sesi yang menyentuh pelbagai isu penting, antaranya perkembangan geopolitik Timur Tengah, konflik Amerika Syarikat-Iran, Selat Hormuz dan ekonomi antarabangsa, kebangkitan pengaruh Iran, perkembangan Yaman dan Ansarullah, Revolusi Arab, hubungan Sunni-Syiah, taqrib mazhab serta masa depan kesatuan ummah.

Seminar dimulakan dengan ucaptama oleh Yang Dipertua PUM, Prof. Datuk Dr Luqman bin Haji Abdullah, bertajuk “Isu-Isu Geopolitik di Timur Tengah: Perspektif Maqasid”.

PUM berpandangan bahawa dalam mendepani cabaran geopolitik dunia semasa, umat Islam perlu terus memperkukuhkan perpaduan, persefahaman dan kesatuan ummah, di samping mengiktiraf dan meraikan realiti perbezaan pandangan, mazhab serta latar belakang masyarakat Islam.

Perbezaan tidak seharusnya menjadi faktor perpecahan, sebaliknya perlu diuruskan dengan kebijaksanaan, ilmu dan pendekatan yang berteraskan maqasid serta kepentingan bersama umat.

Sempena seminar ini juga telah diadakan pelancaran dua buah buku, iaitu Krisis Geopolitik Asia Barat dan Kompas Sirah Nabawiyah, sebagai usaha memperkayakan bahan ilmiah serta wacana masyarakat mengenai geopolitik dunia Islam dan penghayatan Sirah Rasulullah SAW.

PUM berharap agar seminar ini memberikan manfaat kepada semua peserta, membuka ruang kepada perbincangan ilmiah yang lebih luas serta menyumbang kepada kefahaman yang lebih matang terhadap realiti geopolitik Asia Barat dan cabaran masa depan dunia Islam.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan buku-buku yang dilancarkan, boleh menghubungi urusetia di talian: +60196054234 (Hamidi).

Semoga usaha kecil ini terus menyumbang kepada pembinaan kefahaman, kesatuan dan kekuatan ummah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *