Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengikuti perbincangan dan keprihatinan para ilmuwan Islam yang ingin melihat pengajian turath dan institusi pondok di Malaysia diiktiraf dan dimartabatkan.
Melihat kepada perkembangan ini, PUM menyambut baik dan menyokong penuh usaha untuk mengarusperdanakan pengajian turath serta mengangkat sistem pengajian pondok sebagai salah satu komponen penting dalam pembangunan pendidikan Islam di Malaysia.
Pengajian turath dan institusi pondok mempunyai sejarah yang panjang dalam membina tradisi keilmuan Islam di negara ini. Sistem pendidikan ini telah melahirkan ramai ulama dan ilmuwan yang mahir dalam pelbagai disiplin ilmu agama seperti tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, akidah, tasawuf dan bahasa Arab.
Tradisi pembacaan kitab secara berguru juga memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan sanad keilmuan, adab menuntut ilmu serta kefahaman agama yang berdisiplin.
PUM berpandangan bahawa pengajian turath perlu terus diperkasakan dan disesuaikan dengan keperluan semasa tanpa menghilangkan identiti serta kekuatan tradisi keilmuannya. Pada masa yang sama, institusi pondok wajar diberikan ruang, pengiktirafan dan sokongan yang sewajarnya agar para graduannya mempunyai peluang untuk meneruskan pengajian serta menyumbang secara lebih luas kepada masyarakat dan negara.
Usaha mengangkat pengajian pondok juga penting dalam melahirkan generasi ulama masa hadapan yang mempunyai penguasaan mendalam terhadap ilmu-ilmu agama, berakhlak, berwibawa dan mampu memahami cabaran masyarakat kontemporari.
PUM bersedia memberikan kerjasama dan pandangan dalam usaha memperkukuhkan pengajian turath dan pendidikan pondok agar khazanah keilmuan Islam ini terus subur serta menjadi salah satu kekuatan pendidikan Islam di Malaysia.
Prof. Datuk Dr Luqman Hj. Abdullah
Yang Dipertua,
Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
23 September 2026
Tinggalkan Balasan