Kota Kinabalu, 19 November 2026 – Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Dato’ Wan Mohamad Bin Dato’ Syeikh Abd Aziz telah mengadakan kunjungan hormat kepada YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Mohd Arif, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, bagi membincangkan agenda kemanusiaan Palestin bersama pertubuhan Al-Amal dari Lubnan.
Turut bersama dalam rombongan ialah Dr. Nawar Arifin, Doktor Pakar Ortopedik Hospital Avicenna dan Hospital Thomson, serta wakil pertubuhan Al-Amal, Beirut dan juga exco PUM Sabah.
Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh YB Timbalan Menteri, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Ketua Baitulmal serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Dalam suasana penuh ukhuwah, kedua-dua pihak berkesempatan bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa Palestin serta usaha memperkukuh kerjasama dalam membantu masyarakat yang terkesan akibat konflik dan krisis kemanusiaan.
Pada akhir pertemuan, TYDP PUM turut menyampaikan cenderamata serta dua buah buku terbitan PUM, iaitu sebuah buku berkaitan Geopolitik Asia Barat dan buku terjemahan berjudul Kompas Rasulullah, kepada YB Menteri.
PUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk Dr. Arifin dan seluruh pihak yang terlibat atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi pandangan dalam pertemuan yang bermakna ini.
Semoga pertemuan ini membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam memperkukuh agenda kemanusiaan, khususnya membantu saudara-saudara kita yang memerlukan dan memperkasa agenda dakwah bersama.
Tinggalkan Balasan