Pada 20 – 21 Mac 2023, Lajnah Kebajikan PUM Pusat telah mengadakan “Kembara Rehlah” ke Pattani. Antara objektif kembara ini adalah untuk menziarahi 4 Tokoh Ulama Hebat di sana dan mewujudakn jaringan strategik (smart Partnership) antara ahli PUM dgn para ulama di lima wilayah di Selatan Thai. Peringkat awalnya, hasrat pihak Lujnah adalah untuk menjejaki ulama-ulama di sebelah Pattani sahaja. Namun akhirnya direzekikan untuk sampai ke Naratihiwat dan Sekam. Perjalanan kali ini kami turut disertai 2 orang staf dan Tuan Fadil dan Alya dari telekung Rawdah.

Di sana kami menziarahi 4 orang Tokoh Ulama di Pattani.

1) Mula-mula kami singgah di Maahad Furqan Munduk dan berkesempatan untuk bersarapan bersama dengan Baba Ghazali Harun.

Kami terpegun melihat pondok dan rumah Baba. Tuan Fadhil nampak lebih gembira apabila berpeluang menunggang kuda milik Baba. Kami juga terkejut apabila dihidangkan makan nasi kerabu yang mana tiba-tiba ada beehoon pink. Baba Ghazali ni sangat istimewa selain popular di sana, beliau pernah dipanggil khas ke Istana Johor kerana memiliki kelebihan suara seperti Sudais, Imam besar di Masjid Haram.

2) Kemudian kami singgah pula di Muzium Raya Al Quran Narathiwat.

Subhanallah kami menyaksikan sendiri kegigihan Baba Lutfi dan isterinya dalam memelihara khazanah dan warisan manuskrip al-Quran, kitab-kitab turath melayu asal dan peralatan melayu Pattani. Mereka bermula dari kosong dengan usaha dan kewangan sendiri. Kami terpegun melihat al Quran berusia 1000 tahun ke atas dan pelbagai manuskrip tulisan asal para tokoh ulama seperti Sheikh Daud Fatani, Tok Klabo dan lain-lain.

Usaha beliau mula dibantu kerajaan Turki dan sahabat NGO yang lain dan sekarang sedang dibina satu bangunan muzium warisan melayu Islam Patani yang cantik berhadapan Maahadnya. Selepas ini para pengunjung akan berasa lebih selesa kerana boleh melawat ke situ samil menghayati akar umbi sejarah melayu Islam Pattani.

3) Keesokan harinya dalam melihat perkembangan Madrasah Aulad Gelongtoknok Sekam, kami singgah berjumpa Baba Mustafa (Baba “Pa”) di pondoknya. Beliau merupakan Pengerusi Persatuan Pondok-Pondok Wilayah Patani dan Timbalan Pengerusi Persatuan Pondok-Pondok 5 Wilayah Selatan Thailand. Beliau antara penggerak yang memastikan survival pondok di Patani, berurusan dengan pihak kerajaan bagi mendapatkan pengiktiran dan bantuan kewangan dalam masa yang sama memastikan keaslian ilmu Islam pondok tidak terjejas.

Projek Qurban 4 Qaseh, iftar dan lain-lain di Patani banyak dengan kerjasama dengan Baba “Pa” kerana beliau juga turut aktif di majlis Agama Islam di sana. Pendek kata kerjanya banyak infaq ilmu dan tenaga serta kewangan untuk membangunkan agama Islam di sana.

4) Yang paling teruja, kami juga dapat jumpa Baba Ismail Sepanjang yang terkenal sebagai tokoh ulama besar di Patani dan seluruh nusantara. Aura Baba Ismail ni memang lain dari yang lain. Terpaku kami dengan wataknya, keramahannya. Baba sendiri yang hidang air dan Baba yang banyak bercakap berbanding kami. Lebih meriah lagi apabila ahli rombongan muslimat kami dapat berjumpa dengan isteri Baba. Baba berbesar hati mempelawa kami untuk selalu berziarah ke rumahnya untuk merapatkan hubungan silaturahim.

Saya bertanya pd baba:
“Tak penat ke Baba mengajar di Patani, Malaysia, Acheh, Singapura dan lain-lain setiap bulan bergilir-gilir?Baba jawab “Itulah dakwah”.

Kita ni travel banyak tempat sikit pun dah penat. Moga perjalanan rihlah kami diberkati Ilahi.